Fadhlina minta arahan mesyuarat pengurusan sekolah sesi 2026 diadakan sehari dipatuhi
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta semua pentadbir sekolah mematuhi arahan supaya Mesyuarat Pengurusan Sekolah bagi sesi baharu pembukaan persekolahan tahun 2026 dilaksanakan dalam tempoh satu hari sahaja.
Beliau berkata, pelaksanaan arahan tersebut penting bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga pendidik terus terpelihara, khususnya ketika guru-guru sedang menikmati tempoh cuti persekolahan.
Menurut Fadhlina, sebarang mesyuarat yang dirancang perlu dilaksanakan secara objektif, efektif dan berkesan, tanpa membebankan guru dengan tempoh perbincangan yang terlalu panjang.
“Saya minta supaya arahan ini dipatuhi oleh semua pentadbir sekolah bagi memastikan aspek kesejahteraan guru sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad mengarahkan mesyuarat pengurusan sekolah bagi sesi baharu pembukaan persekolahan tahun 2026 dilaksanakan secara ringkas dan terancang bagi memberi ruang kepada guru menggunakan cuti akhir tahun 2025 dengan sebaiknya.
Beliau berkata, mesyuarat pengurusan sekolah bagi tujuan tersebut perlu dilaksanakan hanya sehari sahaja, merangkumi perbincangan berkaitan bidang pengurusan, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum secara serentak.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menggalakkan semua guru agar memanfaatkan sepenuhnya tempoh cuti yang sedang berlangsung sebagai persediaan mental dan emosi sebelum kembali bertugas.
Beliau berharap guru-guru dapat hadir semula ke sekolah dengan semangat baharu serta inspirasi tinggi demi memastikan kelangsungan kualiti pendidikan negara.
“Buat semua guru yang sedang bercuti, manfaatkan tempoh ini sebaiknya dan kembali bertugas dengan lebih bersemangat pada sesi persekolahan akan datang,” katanya.
Fadhlina turut menitipkan harapan agar warga pendidik kembali ke sekolah dengan tenaga dan iltizam yang diperbaharui, seiring peranan besar mereka dalam membentuk generasi masa depan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








