Jangan remeh peranan RoS, PN perlu jawab aduan BERSATU – Azmin
KUALA LUMPUR – Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) diminta tidak meremehkan peranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung tindakan penggantungan semua kegiatan gabungan itu berkuat kuasa 23 September lalu.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, RoS sebelum ini menerima aduan rasmi BERSATU pada 11 Ogos berhubung dakwaan pelanggaran Perlembagaan PN, termasuk tidak melibatkan parti itu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Menurutnya, BERSATU turut membangkitkan isu kedudukan keanggotaannya dalam PN serta dakwaan kewujudan kuasa veto yang mempengaruhi keputusan Majlis Tertinggi.
“BERSATU telah mengemukakan aduan bertulis kepada RoS pada 11 Ogos lalu dan saya hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat RoS, Putrajaya pada 18 Ogos 2026,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmin berkata, BERSATU akan terus melaksanakan tanggungjawab bagi memelihara Perlembagaan PN serta memastikan perjalanan gabungan itu berlangsung secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
Sementara itu, RoS menjelaskan notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 yang dikeluarkan kepada PN bukan keputusan membatalkan pendaftaran gabungan itu, sebaliknya memberi ruang kepada PN menjelaskan aduan yang dikemukakan BERSATU.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








