Peletakan jawatan Muhyiddin: Sebarang keputusan libatkan PN wajib melalui konsesus semua parti komponen – Pemuda PN
KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) menegaskan sebarang keputusan melibatkan gabungan itu mesti dirujuk, dibincang dan diputuskan dalam Majlis Tertinggi PN.
Pendirian itu ditegaskan dalam satu kenyataan bersama oleh tiga Ketua Pemuda PN iaitu Ketua ARMADA BERSATU, Hilman Idham;
Ketua Pemuda Nasional GERAKAN, Lee Boon Shian dan Ketua Pemuda Kebangsaan MIPP, Justin Prabakaran.
Katanya, ia selaras dengan Fasal 13 Perlembagaan PN yang mana
sebarang keputusan atau pendirian atas nama gabungan itu bukan hak mutlak mana-mana parti komponen secara unilateral.
“Biarpun semua parti komponen boleh menyatakan pandangan, namun pendirian PN harus diputuskan secara konsensus bersama semua parti-parti komponen.
“Pemuda PN menggesa kepimpinan di semua peringkat untuk mengamalkan politik hikmah, bijaksana serta memelihara adab dan etika gabungan bagi merealisasikan agenda lebih besar demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia,” katanya.
Terdahulu Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kejutan apabila meletak jawatan sebagai Pengerusi PN.
Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan BERSATU, susulan tindakan pemimpin BERSATU di Perlis yang memulakan percubaan rampasan kuasa sehingga menyebabkan PAS kehilangan penguasaan ke atas kerajaan negeri itu.
Susulan keputusan itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu hantaran berkata, PAS akan menampilkan calon daripada parti itu bagi menerajui PN sebagai pengerusi baharu.
Ahmad Fadhli berkata, calon yang bakal diketengahkan PAS tidak semestinya Presiden parti, sebaliknya seorang individu yang diyakini mampu menggembleng kekuatan semua parti komponen di bawah PN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








