BERITA SEMASAPOLITIK

Pemimpin 70 tahun ke atas tidak wajar jadi PM – Abdul Hadi

ALOR SETAR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak kemungkinan dirinya diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ahli Parlimen Marang itu berkata, keputusan itu dibuat berpandukan al-Quran yang menyarankan ciri-ciri pemimpin perlu berilmu, berintegriti dan mempunyai kekuatan tubuh badan.

Katanya, pemimpin politik yang sudah berusia lebih daripada 70 tahun tidak wajar memegang jawatan Perdana Menteri, sebaliknya cukup sekadar menjadi penasihat.

“Biar yang bawah 70 tahun jadi Perdana Menteri dan orang itu mesti kuat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-71 di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, fokus utama PAS ketika ini adalah memenangi PRU16 terlebih dahulu sebelum menentukan siapa calon Perdana Menteri dalam kalangan PN.

“Kita bersedia untuk memimpin Malaysia tetapi keutamaan kita adalah menang pilihan raya dahulu dan mendapat cukup sokongan. Bila menang, soal siapa memimpin akan ditentukan secara dalaman parti,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS memiliki ramai tokoh berkelayakan dalam kalangan akademik dan profesional yang boleh diangkat sebagai Perdana Menteri.

Katanya, pemimpin yang dipilih perlu mengamalkan kepimpinan secara kolektif manakala Kabinet yang dibentuk wajar dianggotai gabungan ahli politik serta teknokrat yang boleh dilantik sebagai senator.

“Kepimpinan adalah amanah sangat besar. Jika dilaksanakan dengan baik, ia membawa pahala besar, tetapi jika gagal menunaikannya akan menanggung dosa besar.

“Sebab itu ramai orang takut jadi pemimpin. Maka terpaksalah kita tentukan siapa yang benar-benar layak, iaitu mereka yang berilmu, berintegriti dan mampu turun ke bawah bersama rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button