BERITA SEMASA

Isu tahanan rumah Najib perlu diperjelas di mahkamah – Saifuddin

KLEBANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghormati keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, namun isu perbezaan tafsiran dalam perintah mahkamah perlu diperjelas melalui proses perundangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat perbezaan tafsiran antara keputusan Lembaga Pengampunan yang menetapkan tahanan rumah dengan perintah mahkamah yang menggunakan istilah pelepasan atau discharge.

Menurutnya, perkara itu perlu diteliti kerana kedua-dua istilah berkenaan membawa implikasi berbeza dari segi bidang kuasa Jabatan Penjara.

“Kalau tahanan rumah, Jabatan Penjara masih ada autoriti kerana status Datuk Seri Najib adalah menjalani baki hukuman, cuma kita pindahkan dari Penjara Kajang ke lokasi yang diwartakan.

“Tetapi kalau perintah discharge itu bermaksud pelepasan, Jabatan Penjara tidak ada lagi autoriti atau kuasa terhadapnya,” katanya kepada media selepas menghadiri dialog bersama nelayan di Klebang, di sini hari ini.

Saifuddin berkata, KDN telah menerima surat daripada Setiausaha Lembaga Pengampunan dan menghormati keputusan berkenaan tanpa mempertikaikan kandungannya.

“Bagaimanapun,KDN perlu mendapatkan pandangan Peguam Negara berhubung perbezaan tafsiran itu sebelum sebarang tindakan pelaksanaan dibuat mengikut lunas undang-undang.

“Kalau ada dua interpretasi, mahkamah adalah platform terbaik untuk menentukan perkara itu. KDN akan akur dan menghormati keputusan mahkamah.

“Kita tidak boleh menggunakan mana-mana satu tafsiran secara sewenang-wenangnya kerana ini dokumen undang-undang dan negara kita mempunyai undang-undang,” katanya.

Beliau turut berkata, isu berkenaan bukan berkaitan keengganan KDN menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya memerlukan penjelasan dari sudut perundangan bagi memastikan pelaksanaannya tidak bercanggah dengan undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button