POLITIK

Dr Haim Hilman kritik kepimpinan BERSATU berhubung peralihan kuasa di Perlis

CYBERJAYA – Seorang ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hari ini mengkritik kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berhubung cara parti itu mengendalikan peralihan kuasa yang berlaku di Perlis, baru-baru ini.

Dr Haim Hilman Abdullah berkata, episod berkenaan seharusnya menjadi bahan renungan serius, bukan sahaja dalam PAS tetapi juga dalam kalangan kepimpinan BERSATU sendiri.

“Pendekatan yang diambil oleh kepimpinan tertinggi BERSATU dalam mempertahankan rampasan kuasa itu boleh ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa mereka sebenarnya sudah bersedia untuk meninggalkan kerjasama dengan PAS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau menambah, reaksi PAS terhadap krisis itu akan diperhatikan dengan teliti oleh orang ramai, khususnya dari segi bagaimana parti itu berperanan di tengah-tengah tekanan politik.

“Jika PAS memilih untuk kekal tenang dan berlapang dada berdepan episod ini, ia akan menghantar mesej yang kuat kepada rakyat bahawa PAS ialah sebuah parti matang, berprinsip dan tidak bertindak berasaskan emosi atau kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU dan tiga ADUN PAS yang menandatangani akuan berkanun sehingga mencetuskan krisis politik itu sebagai “sesuatu amat mengecewakan.”

“Daripada mengukuhkan pentadbiran negeri dan menyokong kepimpinan yang diamanahkan oleh rakyat, mereka memilih jalan yang mencetuskan ketidakstabilan serta ketidaktentuan politik,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button