PAS sokong SPRM hentikan pemakaian baju oren bagi individu direman
KOTA BHARU – PAS menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung serta-merta syarat mewajibkan individu yang disiasat memakai pakaian seragam oren ketika dibawa ke mahkamah bagi prosiding reman.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemakaian pakaian seragam berkenaan bersama keadaan individu digari boleh memberi gambaran seolah-olah mereka sudah melakukan kesalahan.
Menurutnya, individu yang dibawa ke mahkamah pada peringkat reman masih belum didakwa dan belum dibicarakan.
“Saya sangat setuju. Mereka ini yang dibawa ke mahkamah baru untuk mendapatkan perintah reman atau sambung reman, belum lagi pertuduhan.
“Jadi apabila pakai baju oren, digari dan sebagainya, mereka seolah-olah sudah bersalah atau sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Jubli Intan 75 Tahun PAS Pusat di sini, lewat malam tadi.
Turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Tuan Ibrahim berkata, tindakan SPRM itu merupakan langkah positif kerana individu yang baru direman tidak seharusnya diaibkan sebelum proses perundangan selesai.
“Kita tak boleh aibkan seorang yang baru direman,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan SPRM menggantung serta-merta syarat mewajibkan individu yang disiasat memakai pakaian seragam oren milik agensi itu ketika dibawa ke mahkamah untuk prosiding reman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








