EXCO Terengganu disiasat SPRM tidak perlu letak jawatan – Ketua Penerangan PAS
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan tiada keperluan untuk seorang EXCO Kerajaan Negeri Terengganu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meletakkan jawatan.
Beliau berkata, EXCO berkenaan tidak perlu berbuat demikian kerana tugasnya hanya sebagai EXCO kerajaan negeri tidak boleh mempengaruhi siasatan SPRM dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Kita menjangkakan selepas ini mungkin akan muncul lagi kes-kes seumpama ini. Apa pun, kita kekal tenang dan serahkan kepada proses mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu beliau turut mempersoalkan mengenai penahanan itu dan mendakwa mempunyai agenda tertentu.
Katanya, lebih menghairankan apabila kes yang disiasat itu berlaku lebih tujuh tahun lalu.
“Kita tidak dapat menyembunyikan rasa pelik. Kes yang didakwa berlaku pada tahun 2018 dan 2020 sebelum ini senyap tanpa sebarang keputusan yang jelas, tetapi tiba-tiba digerakkan untuk pendakwaan pada waktu ini. Jadi adakah selama enam tahun ini dari tahun 2020 sehingga 2026, SPRM tidak mendapati sebarang perkembangan baru dan tiba-tiba menjumpainya hari ini?
“Lebih mengundang tanda tanya apabila Kerajaan MADANI sedang berada pada titik paling lemah dengan pelbagai isu yang mengaitkan kepimpinan tertinggi negara termasuk pendedahan demi pendedahan kebelakangan ini.
“Dalam suasana sebegini, tindakan terhadap wakil PAS yang selama ini dikenali bersih daripada rasuah pastinya menimbulkan persepsi awam bahawa ada agenda tertentu di sebaliknya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








