AMK Selangor gesa PAS putuskan hubungan dengan BERSATU, sertai Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR – Hubungan PAS dan BERSATU yang kini dilihat semakin tegang sehingga terbuka kepada tatapan umum memberi isyarat jelas bahawa masa depan negara tidak wajar dipertaruhkan kepada gabungan politik yang rapuh serta sarat dengan kecurigaan dalaman.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq berkata, perkembangan itu mengundang kebimbangan serius memandangkan Bersatu mempunyai rekod pengkhianatan politik yang tidak boleh dipisahkan daripada sejarahnya, termasuk episod Langkah Sheraton yang disifatkan mengkhianati mandat rakyat.
Menurutnya, situasi hampir sama kini dilihat berulang menerusi apa yang digelarnya sebagai ‘Langkah Perlis’, sekali gus mencerminkan politik sempit BERSATU yang lebih terdorong oleh ketamakan kuasa berbanding semangat setiakawan dalam gabungan.
“Usaha BERSATU meremehkan isu ini sebagai luka kecil jelas memperlihatkan sikap sebenar parti berkenaan yang sanggup menggadaikan kepercayaan demi kepentingan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap gesaan Pemuda PAS Selangor supaya PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU demi kestabilan politik negara.
Dalam masa sama, Muhammad Iman berpandangan sudah tiba masanya PAS mempertimbangkan langkah lebih matang dan bertanggungjawab dengan menyertai Kerajaan Perpaduan yang disifatkannya mampu menawarkan kestabilan jangka panjang serta kekuatan politik demi kepentingan rakyat.
“Kerajaan sedia ada mempunyai keupayaan untuk memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar terperangkap dalam konflik dalaman dan politik tikam-menikam,” katanya.
Beliau menegaskan, penyertaan PAS dalam Kerajaan Perpaduan bukan soal menang atau kalah dari sudut politik, sebaliknya satu langkah yang mencerminkan kematangan dan kebesaran jiwa parti itu, selari dengan usianya yang hampir menjangkau 75 tahun.
“Sudah tiba masanya PAS mengutamakan agenda rakyat mengatasi kepentingan kuasa peribadi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








