‘Tiada alasan munasabah untuk bubar BERSATU’ – Muhyiddin
CYBERJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff supaya parti itu dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai UMNO.
Muhyiddin berkata, tiada alasan munasabah untuk membubarkan sebuah parti yang telah ditubuhkan hampir sedekad lalu itu.
“Saya tidak nampak apa sebabnya BERSATU perlu dibubarkan. Sepanjang 10 tahun ini, BERSATU telah melalui satu perjalanan yang penuh bermakna. Ia bukan sebuah parti yang muncul seketika kemudian lenyap begitu sahaja.
“Jadi, kalau niat kita dalam politik ini ikhlas, kenapa pula kita hendak menamatkan perjuangan parti? Hendak ke mana? Bersara? Beliau sepatutnya menghormati aspirasi kami. Sama ada beliau menyokong kami atau tidak, itu perkara lain.
“(Sebaliknya beliau kata,) ‘Bubarkan sahaja’. Kemudian mahu semua kembali kepada UMNO. Sedangkan UMNO sendiri sedang dibelenggu pelbagai masalah.
“Saya dipecat daripada UMNO, kemudian barulah saya memimpin Bersatu. Jadi mengapa saya perlu kembali ke UMNO? Adakah itu masuk akal?” katanya, hari ini, lapor NST.
Semalam, Mohd Yussof menggesa supaya BERSATU dibubarkan dan ahlinya kembali menyertai UMNO demi menyatukan politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, gesaan itu dibuat kerana BERSATU dilihat semakin terpinggir daripada arus perdana politik susulan keretakan hubungannya dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut merujuk kegagalan BERSATU memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala Barisan Nasional (BN) meraih 48 kerusi, sebagai petunjuk kemerosotan pengaruh politik parti itu.
Muhyiddin, yang juga bekas Perdana Menteri berkata, BERSATU ditubuhkan bagi meneruskan perjuangan untuk bangsa, agama dan negara, justeru tidak timbul soal membubarkan parti itu hanya kerana ada pihak yang menggesanya berbuat demikian.
“Ini sebuah negara demokrasi. Jika tiada siapa yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan usaha untuk memperjuangkan bangsa, agama dan negara, maka perjuangan itu akan berakhir. Jadi jangan memandang rendah perjuangan Bersatu atau melabelkan kami sebagai pembuat masalah.
“Pemikiran politik saya tidak pernah begitu. Saya percaya masih ada perkara yang boleh saya lakukan untuk negara. Ini bukan perjuangan seorang individu.
“Saya menubuhkan gerakan ini dan membina sebuah pasukan yang besar. Hari ini kita mempunyai 5,000 cawangan, kira-kira 500,000 ahli dan 180 bahagian.
“Saya juga telah berpesan kepada ahli-ahli bahawa walaupun saya seorang sahaja yang tinggal dalam perjuangan ini, BERSATU akan terus wujud dan saya akan meneruskan perjuangan ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















