BERITA SEMASA

Srikandi BERSATU buat lebih 10 laporan polis, dakwa Nga Kor Ming ugut wartawan

KUALA LUMPUR – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini membuat lebih 10 laporan polis di seluruh negara terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming susulan kenyataannya yang didakwa berunsur ugutan terhadap seorang wartawan baru-baru ini.

Ketua Penerangan Srikandi BERSATU, Nurul Syazwani Noh berkata, laporan itu dibuat secara serentak oleh Ketua Srikandi Negeri dan Ketua Penerangan Negeri bagi mempertahankan kebebasan media serta kebebasan bersuara sebagaimana dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, insiden tersebut berlaku ketika sidang media rasmi kementerian apabila seorang wartawan bertanyakan penggunaan Bahasa Inggeris dalam projek “I Lite U”, namun Kor Ming didakwa memberikan respons bernada ugutan.

“Kenyataan ini menunjukkan penyalahgunaan kuasa dan menimbulkan budaya ketakutan dalam kalangan wartawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Syazwani berkata, kenyataan sedemikian tidak wajar dan mencerminkan sikap angkuh seorang pemimpin kerajaan yang sepatutnya menghormati peranan media sebagai penyampai maklumat kepada rakyat.

Dalam pada itu beliau berkata, dua bentuk laporan polis dikemukakan iaitu membabitkan dakwaan ugutan jenayah di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan serta dakwaan penyalahgunaan kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Nurul Syazwani berkata, tiada mana-mana pihak termasuk anggota pentadbiran kerajaan berhak memberi tekanan atau menakut-nakutkan wartawan yang menjalankan tugas secara profesional.

“Kebebasan media ialah asas demokrasi. Kuasa bukan lesen untuk menekan media,” katanya lagi.

Srikandi BERSATU turut menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera secara adil dan telus.

“Srikandi BERSATU akan terus mempertahankan maruah, kebebasan dan suara rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button