BERITA SEMASA

RUU PSB: Pembangkang bantah, tapi mereka sendiri wartakan 81 kawasan untuk dibangunkan semula di negeri tadbiran mereka

PUTRAJAYA – Tindakan golongan pembangkang membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ‘agak mengelirukan’ kerana negeri ditadbir mereka sudah mewartakan 81 kawasan untuk dibangunkan semula.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mendedahkan, 55 tapak terletak di Kedah dan diwartakan sejak 2018 manakala kerajaan Terengganu mewartakan 22 kawasan sejak 2015, diikuti empat tapak empat di Kelantan.

Kata Kor Ming, pewartaan itu dilaksanakan sendiri oleh pentadbiran negeri terbabit.

“Mereka yang cadang namun sekarang bantah, ini pendekatan kurang siuman,” katanya dalam satu temu bual khas dengan pihak media, baru-baru ini.

Dalam temubual sama, Kor Ming mendedahkan secara keseluruhannya terdapat 534 kawsan di seluruh negara sudah diwartakan.

Beliau memberitahu, terdapat 139 kawasan di Kuala Lumpur, Perak (85), Selangor (72), Pahang (58), Negeri Sembilan (49), Johor (35), Melaka (9) manakala lima di Pulau Pinang.

RUU PSB diangkat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan tujuan menggantikan peraturan serta undang-undang lama yang mengawal pembangunan semula kawasan bandar daif.

Bacaan ketiga, perbahasan dan pengundian RUU itu dijangka akan dibuat pada mesyuarat ketiga bagi penggal keempat Parlimen ke-15 tahun 2025, bermula 6 Okt dan berakhir pada 4 Dis.

Ambang persetujuan baharu juga dinaikkan kepada 80 peratus pemilik, yang diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan.

Pada 25 Feb lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa penggubalan akta khusus pembaharuan semula bandar diumumkan pada 2015, manakala penggubalan RUU PSB dimulakan pada 2021 dan diteruskan kerajaan seterusnya.

Nga berkata walaupun Terengganu mewartakan tapak sejak 2015 diikuti Kedah tiga tahun kemudian, belum ada sebarang usaha untuk menaik taraf oleh pentadbiran PAS itu.

“Sekarang kamu salahkan saya (bila bentang RUU PSB), adakah itu adil? Mengapa menentang sesuatu yang kamu cadangkan?” katanya.

Tegasnya, tidak timbul isu kuasa kerajaan negeri terjejas kerana semua keputusan dibuat secara kolektif menerusi RUU PSB.

Menurutnya, menteri besar atau ketua menteri berperanan mengetuai jawatankuasa eksekutif negeri yang antara tugasnya untuk merancang pembaharuan semula bandar.

Keputusan itu kemudiannya dibawa ke jawatankuasa eksekutif persekutuan untuk kelulusan supaya rundingan boleh dimulakan.

“Di jawatankuasa eksekutif persekutuan pula bukan saya seorang duduk di sana, ada datuk bandar, ketua setiausaha, ketua pengarah, wakil kerajaan negeri, kumpulan profesional dan perunding.

“Jadi keputusan dibuat secara kolektif,” katanya menepis dakwaan RUU PSB memberi kuasa kepada menteri serta pro pemaju.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button