AKM, AKeMedia 2025 iktiraf sumbangan cemerlang warga KPKT, PBT dan media
PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan pra-pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025 sebagai usaha mengiktiraf pencapaian cemerlang warga kerja, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta rakan media yang sentiasa menyokong aspirasi kementerian.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, penganjuran AKM dan AKeMedia adalah manifestasi penghargaan kepada individu dan organisasi yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
Katanya, sebanyak 10 anugerah akan dipertandingkan dalam AKM 2025 termasuk enam kategori individu, dua kategori berpasukan dan dua kategori PBT.
“AKM 2025 membawa slogan simbolik KPKT iaitu ‘stronger together’, ‘unity in diversity’ dan ‘demi pertiwi’ selari dengan dasar Malaysia MADANI yang menekankan penyampaian perkhidmatan berkualiti dan kepimpinan berkesan,” katanya.
Menurutnya, penerima anugerah bakal menerima hadiah wang tunai bernilai sehingga RM20,000 bergantung kepada kategori selain sijil penghargaan, trofi dan peluang mengikuti kursus pendek di institusi antarabangsa terkemuka seperti Harvard University dan Melbourne Business School.
Majlis kemuncak AKM 2025 dijadual berlangsung pada 8 November 2025 dengan sokongan rakan strategik utama termasuk Perbadanan PR1MA Malaysia.
Sementara itu, AKeMedia 2025 yang memasuki tahun ketiga penganjuran, terus menjadi platform penghargaan kepada pengamal media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan agenda kementerian kepada rakyat.
Menurut Nga, AKeMedia 2025 yang bakal berlangsung pada 3 November depan melibatkan kerjasama dengan Malaysian Press Institute (MPI), menyaksikan lapan kategori anugerah dipertandingkan termasuk Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik, Anugerah Video Portal/Dalam Talian Terbaik dan Anugerah Influencer Terbaik yang diperkenalkan buat julung kali.
“Setiap penyertaan akan dinilai secara teliti oleh juri profesional, dan pemenang bakal membawa pulang trofi serta wang tunai RM3,000, manakala penerima Anugerah Khas Menteri akan menerima wang tunai RM10,000,” katanya.
Kor Ming turut mengalu-alukan penyertaan lebih ramai pengamal media menjelang tarikh tutup penyertaan pada 5 September 2025.
Turut hadir dalam majlis hari ini ialah Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M. Noor Azman Taib; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail; serta barisan pengurusan tertinggi KPKT dan rakan strategik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








