KPKT beri enam bulan rundingan dengan negeri kuat kuasa Akta 672
IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan tempoh enam bulan untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri yang belum mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi menjalin kerjasama strategik ke arah penguatkuasaan undang-undang berkenaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perbincangan itu bertujuan menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam, khususnya di negeri-negeri yang masih belum melaksanakan akta tersebut.
Menurut beliau, KPKT optimis hukuman denda antara RM2,000 hingga RM10,000 serta 12 jam perintah khidmat masyarakat yang diperuntukkan dalam Akta 672 akan mendapat sokongan kerajaan negeri.
“Akta ini diluluskan secara sebulat suara di Parlimen dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Justeru, ia mempunyai legitimasi serta restu semua pihak,” katanya kepada pemberita ketika program Lawatan Kerja Rasmi Sentuhan Kasih Menteri KPKT ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bercham, di sini, hari ini.
Kor Ming berkata, tempoh enam bulan itu termasuk rundingan bersama kerajaan negeri Perak bagi mencari mekanisme terbaik untuk mewujudkan kerjasama strategik dalam penguatkuasaan undang-undang tersebut.
Media sebelum itu melaporkan seramai 42 individu, termasuk dua kanak-kanak, menjadi kumpulan pertama disiasat mengikut Akta 672 kerana membuang sampah kecil di tempat awam.
Mereka dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) menerusi Ops Cegah yang dijalankan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, malam kelmarin.
Untuk rekod, setakat Mei 2025, lima negeri masih belum mengguna pakai Akta 672 iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kelantan.
Kor Ming berkata, kesemua 42 individu terbabit termasuk 18 warga asing ditahan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Kompaun telah dikeluarkan terhadap kesemua individu berkenaan yang disifatkan sebagai ‘ulat sampah’, selain kes itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menentukan sama ada mereka akan didakwa di mahkamah,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau menjelaskan hukuman perintah khidmat masyarakat seperti menyapu jalan, mencuci longkang dan tandas awam hanya boleh dilaksanakan selepas pesalah melalui proses pendakwaan dan disabitkan kesalahan di mahkamah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








