BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Sentuhan Kasih KPKT: Sandakan terima peruntukan RM34.2 Juta

SANDAKAN – Kerajaan Perpaduan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM34.2 juta bagi melaksanakan pelbagai projek kesejahteraan dan pembangunan infrastruktur di Sandakan.

Dalam satu kenyataan, KPKT memaklumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meneruskan siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT dengan meninjau lapan projek utama yang sedang dilaksanakan di Sandakan.

Antara projek terbesar yang mendapat tumpuan ialah menaik taraf pembinaan sel Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Labuk, melibatkan peruntukan RM30 juta.

“Daripada jumlah itu, kos kontrak bagi projek adalah sebanyak RM25.91 juta dan selebihnya digunakan untuk perancangan, penyeliaan, pembinaan, ujian, pentauliahan serta penyelenggaraan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, RM1 juta turut diperuntukkan untuk projek penyelenggaraan di Taman Singapore melalui Program Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM).

Baca juga : Kerajaan peruntuk RM900 juta bangunkan PRR, RMR – KPKT

Baca juga : KPKT peruntuk RM121 juta untuk pembangunan Kampung Baru Cina sepanjang 2024

Tambah kenyataan itu lagi, projek tersebut melibatkan kerja mengecat lapan blok Apartment Taman Singapore, di mana RM500,000 telah diluluskan bagi empat blok pertama dan RM500,000 lagi untuk blok tambahan.

“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 28 Julai 2025 dan bertujuan memastikan kediaman strata yang lebih selamat dan selesa,” katanya.

Dalam lawatan yang sama, Kor Ming turut meninjau dewan serbaguna di Jalan Singapore yang telah siap dibaik pulih dengan kos sebanyak RM400,000.

Katanya, KPKT turut memberi tumpuan kepada penyediaan perumahan mampu milik apabila melawat ke Residensi PR1MA Borneo Cove, sebuah projek perumahan seluas 9.53 ekar yang menyediakan 999 unit apartmen dalam tiga blok lengkap dengan fasiliti seperti dewan serbaguna, surau, tadika dan gelanggang futsal.

Dalam sektor perniagaan dan ekonomi tempatan pula, RM2 juta diluluskan untuk kerja-kerja menaik taraf empat pasar utama, iaitu Pasar Elopura, Pasar Kim Fung, Pasar Umum dan Pasar Sim-Sim.

Dalam pada itu, bagi memperkasa infrastruktur sukan setempat, RM400,000 diperuntukkan bagi pembinaan bumbung gelanggang bola keranjang di Taman Indah Jaya, manakala satu lagi peruntukan RM400,000 disalurkan untuk menaik taraf gelanggang futsal di PPR Harmoni.

“Inisiatif yang dilaksanakan di bawah program Sentuhan Kasih KPKT ini turut mencerminkan pendekatan Malaysia MADANI dalam merancakkan pembangunan yang bersifat inklusif dan mampan, demi kesejahteraan semua lapisan rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button