Rundingan kerusi PRN Sabah tidak terhad kepada komponen PH-BN – Zambry
PUTRAJAYA – Rundingan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan terus dijalankan secara berperingkat dan tidak terhad hanya kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, proses perbincangan telah dimulakan dan masih berjalan melibatkan pelbagai pihak, termasuk parti-parti di luar gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Kita akan terus mengadakan siri-siri perbincangan dan saya ingin mengesahkan bahawa proses itu sudah bermula. Rundingan ini tidak terhad kepada 12 parti atau dua gabungan utama sahaja.
“Seperti yang disebut Pengerusi Barisan Nasional, (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kerjasama kita melangkaui asas-asas gabungan BN dan PH. Dalam BN dan PH sendiri pun terdapat komponen daripada parti-parti sahabat yang lain,” katanya yang juga Menteri Pendidikan Tinggi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Kepimpinan Muda Kebangsaan Karisma: Pemikir Madani di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.
Baca juga : Nurul Izzah cadang PKR bertanding minimum 13 kerusi PRN Sabah
Zambry berkata, pendekatan itu penting bagi membentuk kesepakatan yang lebih mantap menjelang PRN Sabah, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti politik yang menyokong kerajaan.
“Kita terbuka kepada sebarang bentuk perbincangan. Bila ia akan dimuktamadkan? Itu kita akan lihat mengikut perkembangan. Yang penting, proses itu sedang berjalan,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN bersikap terbuka dan bersedia untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik termasuk rakan PH serta parti-parti tempatan Sabah dalam menghadapi PRN Sabah.
Beliau berkata, rundingan awal antara BN dan PH telah dimulakan bagi membincangkan pengagihan kerusi namun sebarang keputusan hanya akan dimuktamadkan selepas pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








