POLITIK

Mungkin sudah tiba masanya UMNO perhalusi kembali kerjasama – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi menempelak Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin yang disifatkan sebagai kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian.

Beliau berkata, kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebooknya hari ini merupakan satu penghinaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jika tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekalipun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.

“Apatah lagi yang dihina merupakan bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar UMNO yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dalam pada itu beliau turut menggesa supaya kerjasama parti itu dalam gabungan tersebut dikaji semula susulan isu yang timbul itu.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini,” katanya.

Terdahulu pemimpin UMNO mengecam hantaran yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Puchong itu yang disifatkan sebagai tiada simpati dan empati terhadap penderitaan orang lain.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bekas Perdana Menteri itu kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching hari ini menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.

Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Sehubungan itu, Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini. 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button