BERITA SEMASA

Nelayan Indonesia terselamat selepas 10 hari hanyut di Laut China Selatan

KUCHING – Seorang nelayan Indonesia terselamat selepas bot yang dinaikinya hanyut hampir 10 hari di Laut China Selatan akibat kehabisan bahan api dan kerosakan sistem navigasi sebelum tiba di perairan Sarawak, Rabu lalu.

Nelayan berkenaan, Syahrudin, 37, dari Pulau Subi, Provinsi Kepulauan Riau berkata, pengalaman pahit itu bermula apabila sistem GPS botnya rosak ketika cuaca berkabus dan berawan, menyebabkan beliau gagal menentukan arah pulang.

Menurutnya, beliau berlepas dari Pulau Subi pada 30 November lalu untuk menangkap ikan seperti biasa, namun keadaan menjadi cemas apabila bekalan bahan api semakin berkurangan.

“Selepas enam hari di laut, GPS rosak dan saya terpaksa bergantung kepada matahari untuk menentukan arah, tetapi cuaca berkabus dan berawan menyukarkan keadaan,” memetik laporan NST online.

Syahrudin berkata, kebimbangan semakin memuncak apabila memikirkan keselamatan isteri serta tiga orang anaknya yang berusia antara tiga hingga 20 tahun.

“Saya risau apabila bahan api semakin berkurangan dan tidak tahu arah yang perlu dituju,” katanya lagi.

Difahamkan, bot berkenaan hanyut sejauh kira-kira 96 batu nautika dari Pulau Subi sebelum menghampiri perairan Sarawak.

Dia berkata, pengalaman hampir dua dekad sebagai nelayan banyak membantunya kekal tenang walaupun berdepan ombak besar dan keadaan tidak menentu.

“Pengalaman dan keazaman untuk pulang bertemu keluarga memberi kekuatan kepada saya walaupun tersesat di tengah laut,” katanya lagi.

Selepas 10 hari terumbang-ambing, cahaya dari sebuah jeti di Kuching menjadi petunjuk yang membawanya tiba dengan selamat ke daratan.

“Sebaik tiba, saya tidak tahu berada di mana dan bimbang akan ditahan serta bot dirampas,” katanya lagi.

Bagaimanapun, dia menerima bantuan daripada pihak berkuasa tempatan serta Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching yang turut membekalkan kira-kira 500 liter bahan api, selain makanan dan air untuk perjalanan pulang.

Sementara itu, Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Abdullah Zulkifli merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching serta penduduk Kampung Telaga Air yang menjadi pihak terawal mengesan kehadiran nelayan tersebut.

Syahrudin dijangka bertolak pulang ke Pulau Subi pada Isnin ini dengan sistem GPS yang telah dibaiki dan perjalanan pulang dianggarkan mengambil masa kira-kira tiga hari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button