Mohamad Sabu rasmi limbungan kapal Persatuan Nelayan Kebangsaan di Kuala Kedah
KUALA KEDAH – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu semalam merasmikan Limbungan Kapal Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) yang dibina dengan kos sebanyak RM10.7 juta.
Mohamad berkata, limbungan yang dibangunkan dari tahun 2020 hingga 2024 itu merupakan projek sosioekonomi strategik bagi menjana pendapatan serta memperkukuh pembangunan sosial komuniti nelayan setempat.
Katanya, kemudahan berkenaan memainkan peranan penting dalam menyokong kelangsungan operasi nelayan, khususnya di Kuala Kedah yang merekodkan pendaratan ikan sebanyak 1,038 metrik tan bernilai kira-kira RM6.3 juta.
“Fasiliti utama limbungan itu ialah slipway yang membolehkan bot nelayan dinaikkan dari laut secara selamat dan tersusun bagi tujuan penyelenggaraan, pembaikan serta naik taraf komponen.
“Limbungan ini mampu menampung sehingga enam buah bot atau kapal pada satu-satu masa dan kapasiti itu dijangka meningkat menerusi penambahan cradle pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Beliau berkata, saiz bot yang menggunakan kemudahan itu merangkumi sampan gentian kaca serta bot nelayan Zon A (inboard), B, C dan C2.
“Sehingga November 2025, sebanyak 50 bot dan kapal telah menerima perkhidmatan di limbungan berkenaan, sekali gus membuktikan peranannya sebagai fasiliti kritikal bagi nelayan di Wilayah Utara,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menggalakkan golongan nelayan muda supaya merebut peluang menyertai program latihan teknikal dan kursus berkaitan bagi meningkatkan kemahiran serta daya saing dalam industri perikanan.
Majlis perasmian turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil; Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat; Pengerusi NEKMAT, Abdul Hamid Bahari serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








