BERITA SEMASADALAM NEGERI

Maritim Malaysia tahan warga India guna bot nelayan tempatan

PELABUHAN KLANG – Cubaan menjalankan aktiviti perikanan secara tidak sah membawa padah apabila sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas A ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan negeri ini, malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira pukul 7.30 malam oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan tersebut.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas vesel itu dilakukan sebelum ia ditahan pada kedudukan kira-kira 4.61 batu nautika barat daya Pantai Kelanang.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama seorang kru, masing-masing warganegara India berusia 40 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, selain tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Beliau menambah, vesel itu turut didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 apabila tidak diusahakan sendiri oleh pemilik berlesen.

Susulan itu, kru, vesel serta peralatan perikanan termasuk hasil laut yang berada di atasnya disita sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat lesen serta kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Dalam pada itu, Abdul Muhaimin menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Selangor, tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkan maklumat kepada talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 untuk tindakan segera,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button