Anwar tinjau persiapan GP Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau persiapan penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang akan bermula esok.
Beliau berkata, tinjauan itu turut memberi peluang kepadanya menyantuni peminat F1 yang menyertai sesi pit lane walk, selain bertemu sukarelawan dan petugas yang terbabit dalam memastikan kelancaran penganjuran.
“Saya menghargai kerjasama erat Sepang International Circuit (SIC) dan Bahrain International Circuit (BIC) dalam menjayakan penganjuran ini.
“Penghargaan kepada seluruh pasukan penganjur, petugas dan sukarelawan atas komitmen memastikan setiap urusan terlaksana dengan teratur dan selamat,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Anwar berkata, beliau berharap penganjuran berkenaan berjalan lancar serta meninggalkan kenangan bermakna kepada peminat dan pengunjung.
Menurutnya, kejohanan itu turut menjadi platform untuk mengangkat nama Malaysia dalam persada sukan permotoran dunia.
Penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Grand Prix Bahrain sepatutnya berlangsung pada 12 April 2026 namun terpaksa dipindahkan ke Malaysia kerana konflik serantau.
Kejohanan yang masih mengekalkan hak penganjuran Bahrain itu sekaligus memeriahkan semula sukan berprestij dan menandakan kepulangan semula F1 ke litar Sepang sejak kali terakhir menjadi hos F1 pada 2017.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








