KBS terus sokong usaha merakyatkan sukan pemotoran
SEPANG – Penganjuran Karnival Sukan Pemotoran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi platform untuk merakyatkan sukan pemotoran selain memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan pendidikan kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, karnival dua hari yang bermula semalam dan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pilihan Sukan Negara, Bahagian Pembangunan Sukan itu menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung.
“Tujuan utama program ini adalah untuk merakyatkan lagi sukan pemotoran, menjadikannya lebih mudah diakses orang ramai.
“Dengan adanya acara sebegini, kita memberi peluang kepada peminat untuk merasai pengalaman motorsport, bukan sekadar sebagai penonton tetapi sebahagian daripada komuniti,” katanya ketika ditemui selepas meninjau karnival berkenaan semalam.

Terdahulu, Adam Adli memandu sendiri jentera Toyota Yaris GR sebanyak dua pusingan di SIC sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran karnival berkenaan.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, kementeriannya sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan dalam setiap penganjuran sukan pemotoran.
“Sukan pemotoran sama ada dua tayar atau empat tayar tidak hanya tentang keseronokan semata-mata, tetapi perlu ada kesedaran keselamatan dan elemen kekeluargaan. Itulah yang kita hargai daripada semua rakan penganjur dan pasukan,” katanya.
Beliau memaklumkan, SIC menerima peruntukan sekurang-kurangnya RM50 juta setiap tahun, manakala program Rakan Muda dan pembangunan pemandu sukan diperuntukkan RM25 juta.
Bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM3 juta telah dibelanjakan khusus untuk penganjuran program sukan pemotoran.
Justeru itu, katanya, KBS akan terus berusaha menjadikan Sepang sebagai hab berprestij dunia dengan menarik lebih banyak kerjasama dan acara antarabangsa.
“Sepang masih mempunyai potensi besar. Kita akan berusaha keras untuk membawa lebih banyak acara berprestij dan nama-nama besar motorsport ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, penganjur karnival, Najiy Ayyad berkata, elemen pendidikan turut diberi penekanan dalam penganjuran kali ini.
“Kita akan lebih fokus kepada aktiviti di litar untuk memberi pengalaman pembelajaran.
Mereka juga belajar teknik dan kemahiran sebenar. Dari sini kita dapat melahirkan pemandu yang lebih berkemahiran dan selamat,” katanya.
Najiy menjelaskan bahawa latihan semata-mata tidak mampu memberi impak sepenuhnya kerana persaingan merupakan elemen penting dalam meningkatkan kemahiran.
“Akhirnya, semuanya kembali kepada kompetisi. Tanpa pertandingan, latihan tidak ada hala tuju kerana tiada cabaran atau penanda aras. Sebab itu perlumbaan menjadi pemangkin utama untuk kita tingkatkan kemahiran,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














