SUKAN

ASEAN disatukan melalui sukan – Hannah

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan sukan mampu menjadi wahana penyatuan serantau apabila merasmikan Coach Developer Programme 2025 (CDP25) anjuran ASEAN Centre of Excellence for Sports Coaching (ACSC) di DoubleTree Putrajaya Lakeside, hari ini.

Program lima hari bertemakan “ASEAN: United Through Sport” itu menghimpunkan jurulatih pembangunan, pakar dan pengamal sukan dari seluruh rantau bagi memperkukuh ekosistem kejurulatihan ASEAN.

Menurut Hannah, pelaburan dalam pembangunan jurulatih adalah penting kerana mereka bukan sahaja melahirkan jurulatih yang mantap, malah membentuk atlet yang membawa semangat, ketahanan dan kebanggaan negara masing-masing.

“Dengan bersatu melalui sukan, ASEAN boleh terus menginspirasi kecemerlangan dan mengukuhkan kerjasama merentasi sempadan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Vellapandian Ponnusamy dalam ucapannya berkata, CDP25 bukan sekadar latihan, sebaliknya gerakan transformasi untuk membina jurulatih berdaya, melahirkan atlet berdaya dan mengangkat semangat rantau ASEAN.

Program itu antara lain membincangkan falsafah kejurulatihan, budaya mentor, pembangunan jurulatih para serta strategi memperkukuh standard kejurulatihan ASEAN dengan penyertaan pakar antarabangsa dan serantau.

CDP25 dilihat sebagai usaha Malaysia untuk terus memainkan peranan kepimpinan dalam pembangunan sains sukan dan kejurulatihan di rantau ini, sekali gus mengukuhkan semangat ASEAN bersatu melalui sukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button