BERITA SEMASA

Ayah meninggal sehari sebelum pertarungan, jaguh boling negara tetap tabah raih gelaran juara di Korea

SUWON – Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail menjuarai Kejohanan Piala Samho selepas menewaskan pilihan tuan rumah, Lim Seung-won, dalam aksi akhir di
Bowltopia, Yongin, Korea Selatan, hari ini.

Kemenangan penuh emosi itu hadir sehari selepas kehilangan ayahnya, Allahyarham Ismail Nimat.

Kisah duka mengenai jaguh boling negara itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merakamkan ucapan takziah dan turut bersedih dengan berita pemergian itu.

“Duka yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Semalam jaguh boling negara, Rafiq Ismail kehilangan ayahanda tercinta dan tidak dapat hadir untuk majlis pengebumian.

“Hari ini dengan wajah yang menahan sebak dan hati yang penuh rindu, beliau muncul juara di Korean Samho Cup Bowling Championship dengan mengangkat bendera negara di Suwon, Korea Selatan.

“Kemenangan ini bukan tentang menghapus duka tetapi ia menceritakan tentang keberanian seorang anak yang terus melangkah sebagai tanda hormat kepada ayah yang membesarkannya dan kepada pengorbanan seorang atlet yang tidak pernah menyerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gambar kenangan jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail bersama ayah dan ibunya. 

Dalam pada itu katanya, pihak Kmenterian Belia dan Sukan (KBS) akan menghantar doa, sokongan dan ruang untuk Rafiq berkabung.

“Semoga kisah Rafiq menjadi kekuatan kepada kita semua untuk terus tabah, menghormati perjuangannya dan berdiri bersama atlet negara dalam saat duka mahupun gembira,” katanya.

Allahyarham Ismail Nimat

Terdahulu Rafiq, 27 tahun menampilkan aksi bertenaga untuk menundukkan Seung-won 256-224.

Kemenangan itu merupakan kali pertama skuad negara menjuarai dalam kejohanan berprestij tersebut yang dianggap antara kejohanan paling sukar di dunia dengan kehadiran barisan pemain elit Korea Selatan.

Rafiq mara ke pentas akhir selepas menyingkirkan pemain Jepun, Kikuta Itsuki, 222-177 di separuh akhir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button