JENAYAH & MAHKAMAH

Hannah Yeoh lega nama dibersihkan selepas lima tahun berdepan fitnah

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran merayu oleh Tan Sri Musa Hassan sebagai penamat kepada pertikaian undang-undang yang berlarutan selama lima tahun bagi membersihkan namanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, beliau berdepan pelbagai tuduhan termasuk dakwaan mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian selain dilabel sebagai “duta Tuhan”, anti-Islam dan membawa agenda evangelis oleh pihak tertentu.

“Tuduhan tersebut berulang kali dimainkan dalam ucapan politik, dipotong menjadi kandungan video serta disebarkan secara meluas menerusi platform media sosial sehingga laporan polis turut dibuat terhadapnya.

“Lima tahun saya berdepan dengan fitnah dan pelbagai tuduhan terhadap diri saya.

“Sepanjang tempoh itu, pihak-pihak tertentu dalam politik turut melabel saya sebagai ‘duta Tuhan’, anti-Islam dan membawa agenda evangelis,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut Hannah, walaupun selepas tempoh lima tahun, naratif sama masih berulang apabila fakta diketepikan, manakala isu agama digunakan untuk membina ketakutan hanya kerana seseorang mempunyai perbezaan kepercayaan.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu membuktikan tuduhan palsu tidak boleh dibiarkan menjadi seolah-olah benar hanya kerana ia diulang berkali-kali.

“Dengan keputusan ini, berakhirlah perjuangan undang-undang selama lima tahun untuk membersihkan nama saya.

“Hari ini, saya mendapat keadilan dan nama saya telah dibersihkan,” katanya lagi.

Mahkamah Persekutuan sebelum itu menolak permohonan kebenaran merayu yang difailkan Musa Hassan terhadap keputusan yang mendapati beliau bertanggungjawab memfitnah Hannah.

Dalam pada itu, Hannah merakamkan penghargaan kepada pasukan guamannya yang diketuai Datuk Ambiga Sreenevasan bersama Razlan Hadri Zulkifli, Lim Wei Jiet, Sangeet Kaur Deo, Lee Guo Wen dan Nevyn Vinosh atas usaha sepanjang proses perundangan tersebut.

Beliau turut berkata, perbezaan pandangan dalam politik adalah perkara biasa, namun fitnah serta eksploitasi isu kaum dan agama tidak wajar dijadikan senjata untuk mendapatkan sokongan.

“Dalam politik, kita boleh berbeza pendapat. Kita boleh mengkritik. Kita boleh berdebat dengan keras.

“Namun jangan bina sokongan politik dengan fitnah. Jangan jadikan kaum dan agama sebagai senjata untuk menghancurkan nama seseorang,” katanya lagi.

Hannah berkata, beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab berdasarkan undang-undang, fakta dan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

“Lima tahun kemudian, perjuangan ini akhirnya selesai. Kebenaran telah mendapat tempatnya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button