Senarai kawasan hijau, lapang di Kuala Lumpur didedah kepada umum melalui Data Terbuka
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan melaksanakan satu langkah reformasi penting dalam memperkukuh ketelusan dan penyertaan awam apabila senarai penuh kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan di Kuala Lumpur kini didedahkan kepada umum menerusi pelaksanaan Data Terbuka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) itu membolehkan orang ramai mengakses maklumat berkenaan buat pertama kali secara dalam talian.
Menurutnya, maklumat tersebut boleh dicapai melalui ikon MyHijau di laman web rasmi PPTGWP bagi membolehkan warga kota menyemak status kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan di sekitar Kuala Lumpur.
“Inisiatif ini selari dengan aspirasi yang telah lama disuarakan oleh masyarakat sivil serta gabungan persatuan penduduk, khususnya semasa sesi libat urus yang diadakan pada 20 dan 21 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hannah berkata, selama bertahun-tahun komuniti bandar menuntut akses maklumat yang lebih jelas berkaitan kawasan hijau dan kawasan lapang agar ruang berkenaan dapat dinikmati, dipelihara serta dilindungi secara aktif oleh warga Kuala Lumpur.
“Dalam persekitaran bandar yang pesat membangun, kawasan hijau dan kawasan lapang memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai ruang rekreasi, malah menyokong kesejahteraan penduduk, menghubungkan komuniti serta menyumbang kepada daya tahan iklim.
“Ketika Kuala Lumpur bergerak ke arah menjadi bandar pintar pengurusan air hujan, setiap ruang hijau mempunyai nilai yang amat signifikan,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, kawasan hijau dan kawasan lapang yang tidak diwartakan dengan sewajarnya berisiko terdedah kepada pelupusan hak milik serta penukaran guna tanah untuk tujuan lain.
Setakat ini, sebanyak 494 tapak kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan telah diterbitkan secara dalam talian dan boleh diakses oleh orang awam, manakala usaha sedang diteruskan bagi melengkapkan proses pewartaan bagi baki tapak yang masih belum dimuktamadkan.
Bagi mempercepatkan proses berkenaan, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah menubuhkan Pasukan Petugas Khusus Pewartaan Kawasan Lapang dan Hijau yang bertujuan mengenal pasti jurang teknikal, memperkukuh penyelarasan antara agensi serta memastikan semua baki tapak disempurnakan pewartaannya.
Sementara itu, Pengerusi Save KL, Datuk M. Ali berkata, pendedahan data berkenaan sebagai satu kemajuan besar dari segi akauntabiliti dan perlindungan alam sekitar.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Hannah Yeoh atas pelaksanaan pantas permintaan yang telah lama dinantikan ini serta pengiktirafan terhadap suara masyarakat sivil,” katanya lagi.
Hannah turut berkata, KLRA+SD gabungan lebih 74 persatuan penduduk di seluruh Kuala Lumpur, turut menyambut baik pengumuman berkenaan dan menyifatkannya sebagai reformasi yang amat bermakna serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus kerajaan.
“Kawasan hijau lebih berharga daripada emas bagi kesejahteraan warga kota,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















