
Kerajaan pertimbang anjur Sukan SEA secara kerjasama
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mempertimbangkan penganjuran Sukan SEA melalui kerjasama strategik dengan kerajaan-kerajaan negeri sebagai rakan penganjur bersama.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan akhir mengenai cadangan itu akan ditentukan oleh Jemaah Menteri setelah semua aspek, termasuk kesan ekonomi diambil kira.
“Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada negeri-negeri memajukan pembangunan sukan, mengembangkan industri sukan tempatan dan menggalakkan budaya sukan di kalangan masyarakat,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau turut merujuk pengalaman penganjuran Sukan SEA 2017 yang mana kerajaan memperuntukkan RM550 juta dan jumlah keseluruhan selepas penajaan berjumlah RM687 juta.
Berdasarkan anggaran tersebut, kos penganjuran Sukan SEA 2027 dijangka mencecah RM700 juta.
Hannah berkata, bagi memperhalusi cadangan ini, sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri dan badan korporat telah diadakan pada 6 Jun lalu.
“Setakat ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan RM465 juta.
“Sarawak, sebagai contoh, telah menawarkan peruntukan RM357 juta, yang merangkumi 60 peratus kos penganjuran 18 jenis sukan untuk Sukan SEA dan 8 jenis sukan bagi Para Asia.
“Sabah juga telah bersetuju untuk memperuntukkan RM1.528 juta bagi pengelolaan 11 jenis sukan untuk Sukan SEA dan empat jenis sukan bagi Para Asia dan Pulau Pinang turut menyumbang RM15 juta bagi penganjuran sukan billiard,” katanya lagi.
Hannah berkata, dengan komitmen dari kerajaan negeri ini, kerajaan Persekutuan hanya perlu menyediakan sekitar RM235 juta, yang merupakan penjimatan ketara bagi perbelanjaan negara.
“Kerjasama ini bukan sahaja meringankan beban kewangan kerajaan persekutuan tetapi juga memberi impak positif kepada perkembangan sukan di peringkat negeri,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








