KBS sasar 7,500 belia sertai Rakan Bumi 2026
KUALA NERUS – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan penyertaan seramai 7,500 golongan belia dari seluruh negara dalam Program Rakan Bumi 2026 sebagai usaha melahirkan lebih ramai ejen perubahan yang mengamalkan gaya hidup lestari.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, program berkenaan merupakan antara pengisian utama dalam Kalendar Mega Rakan Muda 2026 yang memberi fokus kepada aktiviti kesukarelawanan berimpak tinggi, khususnya dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Menurutnya, pelaksanaan program itu melibatkan pelbagai aktiviti seperti mengutip sampah, menanam pokok serta membersihkan kawasan laut bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

“Pelancaran peringkat nasional diadakan di Taman Laut Pulau Redang dan akan diperluaskan ke negeri-negeri lain.
“Matlamat utama adalah untuk memastikan golongan muda memainkan peranan aktif serta bertanggungjawab terhadap masa depan negara,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan strategik serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang menyumbang pokok untuk ditanam di kawasan program.
Tambah beliau, keadaan cuaca panas tidak menghalang kelancaran program dengan pelbagai langkah keselamatan diambil, termasuk penyediaan pasukan perubatan dan pemantauan berterusan terhadap peserta.
“Saya gembira melihat anak muda hadir dengan kesedaran sendiri. Mereka diharap bukan sahaja menyertai program ini, tetapi turut mengajak rakan-rakan lain untuk bersama-sama memelihara alam sekitar,” katanya lagi.
Sementara itu, KBS dalam kenyataan berkata, program tersebut terbuka kepada semua lapisan belia yang berminat untuk menyumbang kepada usaha kelestarian alam sekitar.
Orang ramai, khususnya golongan belia, disaran mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang rasmi atau media sosial Jabatan Belia dan Sukan negeri masing-masing.
KBS berharap Program Rakan Bumi: Projek Planet Rakan Muda dapat menjadi model program kelestarian belia berimpak tinggi di peringkat nasional, sekali gus melahirkan generasi yang progresif, bertanggungjawab dan cakna terhadap alam sekitar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








