Selain RM5 juta, apa lagi habuan pingat menanti atlet Olimpik negara?
KUALA LUMPUR – Ganjaran kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Olimpik Paris kini meningkat kepada RM5 juta termasuk tawaran berupa kereta dan pangsapuri mewah.
Terbaharu, ‘kantung’ tajaan kemenangan emas pertama negara menerima tambahan berjumlah RM2 juta daripada sumbangan dua syarikat swasta.
Yinson Holdings Berhad menawarkan RM1 juta manakala Matrix Concepts Holding Berhad dan MJ Health Screening Centre masing-masing menyumbang RM500,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Holdings Berhad, Lim Chern Yuan berkata, penajaan itu adalah sebagai motivasi dan dorongan kepada atlet untuk mempamerkan persembahan terbaik.
“Ini adalah sebahagian daripada sumbangan kami untuk membakar semangat atlet sekaligus mencipta sejarah emas pertama Malaysia di Olimpik Paris,” katanya.
Sumbangan disampaikan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu majlis baru-baru ini.
Terdahulu, ganjaran sebanyak RM2 juta kepada atlet pemenang emas pertama negara ditawarkan melalui tajaan sebuah pangsapuri mewah bernilai RM1 juta oleh syarikat Top Residency.
Manakala ganjaran wang tunai RM1 juta pula ditawarkan oleh Sengheng kepada skuad badminton sekiranya berjaya meraih emas untuk negara.
Selain itu, syarikat pengeluar kenderaan dari China, Cherry Malaysia turut menawarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang menang sebarang pingat di Sukan Olimpik.
Selain itu, di bawah insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN) turut menyediakan hadiah RM1 juta kepada pemenang emas, RM300,000 (perak) dan RM100,000 (gangsa).
Atlet turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa bernilai RM2,000.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








