AMK dakwa PAS akan terus dibuli UMNO di Melaka
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa PAS akan sekali lagi ‘dibuli’ UMNO dalam rundingan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, seperti yang didakwa berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.
Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, situasi di kedua-dua negeri itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN), terutama dalam menentukan pembahagian kerusi pada PRN Melaka.
Menurutnya, UMNO masih dilihat berlagak sebagai ‘Abang Long’ dalam rundingan kerusi, sedangkan berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PAS memenangi lebih banyak kerusi Parlimen berbanding UMNO.
“Jadi persoalannya, sampai bila PAS mahu terus memberikan laluan kepada UMNO dalam rundingan kerusi?
“Di Johor, PAS sendiri mengakui bahawa mereka memberi laluan kepada UMNO dan komponen BN di kerusi yang tidak ditandingi PAS.
“Presiden PAS sendiri pernah menggambarkan keadaan itu seperti PAS menjadi ‘penjaga gol’ yang membantu UMNO menjaringkan gol,” katanya dalam kenyataan.
Dzul Hilmi berkata, perkara sama kini menjadi persoalan di Melaka, termasuk sama ada PAS dan PN akan memberikan ruang yang besar kepada UMNO sedangkan PAS sendiri sudah menyatakan terdapat beberapa kerusi yang menjadi sasarannya.
Katanya, rakyat berhak menilai sama ada rundingan kerusi itu dibuat berdasarkan peluang kemenangan setiap parti atau sekadar memberikan kelebihan kepada UMNO.
“Selepas Melaka, saya tidak sabar untuk melihat bagaimana pula rundingan berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Kalau UMNO benar-benar yakin mereka begitu kuat, adakah mereka pula bersedia memberikan ruang kepada PAS di negeri-negeri yang PAS kuasai?” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata PH tidak akan melayan tuntutan UMNO yang mahu menganggap semua kerusi sebagai hak parti berkenaan.
Menurutnya, perkara lebih penting ialah rekod, kemampuan dan mandat setiap parti dalam membawa perubahan kepada rakyat.
“Kalau UMNO mahu bercakap soal kekuatan, saya cadangkan mereka melihat dahulu realiti keputusan pilihan raya dan kekuatan sebenar setiap parti, bukan sekadar berlagak sebagai ‘Abang Long’,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








