
PRK Sungai Bakap : PKR sudah hantar lima nama
PULAU PINANG – Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang telah menyerahkan lima nama untuk dipertimbangkan sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, nama-nama tersebut akan diteliti dan akan dipilih sebagai calon untuk PRK kali ini.
“Bukan sekadar nama yang terkenal, kita mengambil kira segala sumbangan bakti yang telah diterjemahkan sebelum ini untuk disaring sebagai calon,” katanya, di sini hari ini.
Sementara itu, bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Sungai Bakap, Nurhidayah Che Rose berkata, beliau sedia menebus kekalahannya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kepada PN jika terpilih sebagai calon.
Nurhidayah, 33, yang juga Ketua Wanita PKR Pulau Pinang berkata, jika diberikan mandat, beliau mahu merampas semula kerusi DUN berkenaan bagi PH.
Dalam PRN yang lalu, Nurhidayah tewas kepada calon Pas, Nor Zamri Latiff dengan majoriti sebanyak 1,563.
Sebelum itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memutuskan pemilihan calon akan dibuat berdasarkan semangat kebersamaan mewakili Kerajaan Perpaduan.
“Ini bukan kali pertama kita berkerjasama dalam pilihan raya, telah terbukti semangat perpaduan wujud sejak pilihan raya negeri sebelum ini.
“Kita yakin apa yang kita lakukan dalam kerajaan negeri akan menyumbang kekuatan pada kali ini,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua UMNO Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, jentera pilihan raya Barisan Nasional sudah bersiap sedia untuk bergerak pada PRK kali ini.
“Walau siapa pun yang menjadi calon mewakili Kerajaan Perpaduan, kita akan pastikan kemenangan buat beliau InsyaAllah,” katanya lagi.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan semula susulan kematian ADUN Nor Zamri pada 24 Mei lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








