
PKR desak Maybank batal kerjasama RM1 bilion dengan Microsoft
PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Biro Antarabangsanya membantah keputusan Maybank menjalinkan kerjasama strategik digital bernilai RM1 bilion dengan syarikat teknologi gergasi, Microsoft.
Pengarah Biro Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik berkata, tindakan itu tidak beretika kerana Microsoft dikaitkan dengan dakwaan menyokong tindakan genosid rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Beliau berkata, Microsoft dikenal pasti membekalkan teknologi termasuk sistem Kecerdasan Buatan (AI) yang digunakan oleh tentera Israel dalam operasi ketenteraan, pengawasan dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Kerjasama ini mencemarkan nama baik Maybank sebagai institusi kewangan milik rakyat Malaysia.
“Kami menuntut Maybank menilai semula dan menggantung kerjasama ini serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, PKR turut menuntut penjelasan awam berkenaan penilaian risiko hak asasi manusia yang dibuat sebelum keputusan kerjasama itu dimeterai serta komitmen Maybank terhadap nilai kemanusiaan dan keadilan sejagat.
“Sebagai institusi nasional, Maybank wajar mendahulukan prinsip etika dan kemanusiaan dalam semua urusan perniagaan, sejajar dengan sentimen majoriti rakyat Malaysia yang menolak sebarang bentuk sokongan terhadap penindasan rakyat Palestin,” katanya lagi.
Sebelum itu media melaporkan Maybank memilih Microsoft sebagai rakan digital strategiknya dalam perjanjian bernilai RM1 bilion bagi memacu transformasi digital bank berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








