Larang kapal Israel berlabuh: Kerajaan beri signal jelas, tegas terhadap isu Palestin – Fahmi
PUTRAJAYA – Tindakan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia adalah satu signal yang jelas terhadap ketegasan kerajaaan dalam isu Palestin.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil,
tindakan sekatan tersebut adalah bukti kerajaan tidak akan bersekongkol termasuk membantu dari segi ekonomi Israel.
“Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan yang memberi penegasan melibatkan Israel dan komitmen kita untuk memperjuangkan rakyat Gaza itu yang menjadi keutamaan,” katanya selepas menghadiri Program Spotlight Apresiasi Sinema Malaysia dan Hala Tuju Rekalibrasi Finas di sini, hari ini.
Ditanya adakah tindakan sekatan tersebut akan memberi kesan tehadap kepentingan pelabuhan, Fahmi percaya sekatan tersebut tidak akan memberi kesan yang mendalam kepada kegiatan perdagangan Malaysia.
“Saya tidak ada angka yang spesifik berapa peratus kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan kita iaitu destinasinya ke Israel, tapi saya percaya jumlahnya tidak terlalu besar dan semestinya pihak kerajaan akan teliti perkara ini dari masa ke masa,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Malaysia memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Kata beliau, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
“Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat itu berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia.
“Namun, Kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu. Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Anwar, Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
“Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








