UNSC nilai Pelan Damai Gaza dicadang Trump esok
NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengundi esok berhubung resolusi yang menyokong pelan damai Gaza dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha penyelesaian konflik Asia Barat.
AS minggu lalu memulakan rundingan rasmi dengan 15 anggota Majlis bagi memuktamadkan deraf resolusi susulan gencatan senjata dalam perang dua tahun antara Israel dan Palestin.
Proses itu menandakan kesediaan Washington mengesahkan secara rasmi pelan damai yang diketengahkan Trump.
Deraf terbaharu mengusulkan penubuhan Lembaga Keamanan, sebuah pentadbiran peralihan sehingga 2027 yang secara teori dipengerusikan Trump.
Resolusi sama turut menggariskan pembentukan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) untuk bekerjasama dengan Israel, Mesir serta pasukan polis Palestin yang dilatih semula bagi menjaga keselamatan sempadan dan proses pelucutan senjata.
Buat pertama kali, deraf berkenaan turut menyebut kemungkinan pembentukan negara Palestin pada masa depan.
Dalam kenyataan bersama, AS, Qatar, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Jordan dan Turkiye menyatakan sokongan terhadap deraf itu serta mendesak UNSC meluluskannya segera.
“Negara-negara terbabit menekankan keperluan mendesak untuk memastikan resolusi diluluskan tanpa kelewatan,” memetik laporan BH online.
Bagaimanapun, Russia mengedarkan deraf alternatif yang tidak memasukkan cadangan Lembaga Keamanan atau penempatan segera pasukan antarabangsa.
Deraf tandingan itu sekadar mengalu-alukan usaha ke arah gencatan senjata tanpa menyebut nama Trump, selain meminta Setiausaha Agung PBB menyediakan laporan kemungkinan penempatan pasukan penstabil antarabangsa.
Dalam kenyataan berasingan, misi Russia ke PBB turut menegaskan deraf mereka mengiktiraf dengan jelas prinsip penyelesaian dua negara yang didakwa kurang diberi perhatian dalam deraf AS.
Duta AS ke PBB, Mike Waltz pula memberi amaran bahawa menolak resolusi itu akan meletakkan Gaza kembali ke kancah perang.
Beliau berkata, penolakan bermakna mengekalkan pemerintahan Hamas atau kembali kepada konflik dengan Israel, yang akan terus menjerumuskan rakyat Gaza dalam krisis berpanjangan.
Sumber diplomatik memaklumkan, walaupun majoriti anggota Majlis menyokong prinsip utama deraf tersebut, beberapa isu teknikal masih dipersoalkan termasuk peranan Pihak Berkuasa Palestin (PA), mekanisme pemantauan UNSC dan perincian mandat ISF.
Undian esok dijangka menjadi penentu sama ada pelan damai yang dicadangkan Trump berjaya membuka laluan baharu ke arah penyelesaian jangka panjang di Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








