Enam cedera dalam serangan flamethrower di Colorado
COLORADO – Polis Amerika Syarikat menahan seorang lelaki susulan insiden serangan menggunakan flamethrower buatan sendiri yang mencederakan sekurang-kurangnya enam orang di sebuah pusat beli-belah terbuka di Boulder, di sini, semalam.
Insiden tersebut berlaku ketika sekumpulan peserta demonstrasi dari pertubuhan sukarelawan Run For Their Lives berhimpun secara aman bagi menarik perhatian terhadap isu tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza.
Suspek, dikenali sebagai Mohamed Sabry Soliman, 45, dilaporkan menjerit “Free Palestine” sebelum menyerang orang ramai menggunakan flamethrower, menurut ejen khas FBI, Mark Michalek.
Soliman berjaya ditahan dan kini menerima rawatan di hospital akibat kecederaan namun pihak berkuasa tidak memperincikan jenis kecederaan yang dialami.
Setakat ini tiada pertuduhan rasmi diumumkan namun pihak berkuasa memaklumkan bahawa Soliman akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas perbuatannya.
Ketua Polis Boulder, Steve Redfearn berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan enggan membuat spekulasi berhubung motif serangan selagi proses rakaman keterangan saksi belum selesai.
“Perhimpunan itu berlangsung secara aman. Kecederaan yang dialami mangsa berusia antara 67 hingga 88 tahun adalah konsisten dengan kesan dibakar api,” katanya dalam satu kenyataan.
Redfearn turut menyifatkan serangan itu sebagai tindakan yang tidak boleh diterima.
“Ini adalah petang Ahad yang indah di pusat bandar Boulder di Pearl Street dan perbuatan ini amat tidak berperikemanusiaan,” ujarnya.
Memetik laporan Al Jazeera, wartawan Alan Fisher dari Washington, DC melaporkan bahawa insiden itu berlaku ketika perhimpunan mingguan yang telah berlangsung sejak setahun lalu bagi menyokong pembebasan tebusan di Gaza.
Menurutnya, seorang lelaki dilihat membawa dua botol berisi cecair yang disyaki sebagai bom petrol atau Molotov cocktail sebelum melontarkannya ke arah orang ramai.
Sekurang-kurangnya dua mangsa terpaksa dibawa ke hospital menggunakan helikopter berikutan kecederaan serius.
Saksi kejadian, Brooke Coffman, 19, pelajar Universiti Colorado berkata, dia melihat empat wanita terbaring atau duduk di atas tanah dengan kesan melecur di kaki.
Seorang daripada mereka kelihatan mengalami kecederaan serius dan dibalut dengan sehelai bendera oleh seorang individu.
“Semua orang menjerit ‘Ambil air, ambil air’,” katanya menggambarkan suasana panik ketika kejadian.
Gabenor Colorado, Jared Polis dalam satu kenyataan berkata beliau sedang memantau rapat perkembangan insiden tersebut sambil menegaskan bahawa “segala bentuk tindakan berunsur kebencian tidak boleh diterima.”
“Kami berasa sedih dan hancur hati apabila mengetahui peranti pembakar telah dilempar ke arah para peserta perhimpunan Run For Their Lives di Pearl Street ketika mereka sedang memperjuangkan pembebasan tebusan yang masih ditahan di Gaza,” kata kenyataan komuniti tersebut.
Insiden ini berlaku ketika ketegangan berkaitan konflik Gaza-Israel terus memuncak di Amerika Syarikat sekali gus mencetuskan peningkatan kes keganasan bermotifkan kebencian termasuk anti-Semitisme dan Islamofobia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














