Tindakan terhadap BERSATU selepas PRN Melaka – Ahmad Samsuri
HANG TUAH JAYA – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Perikatan Nasional (PN) akan memutuskan sebarang tindakan atau prosiding tatatertib terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bersatu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selesai.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sudah menerima beberapa aduan daripada parti komponen berhubung isu disiplin membabitkan BERSATU, namun setiap dakwaan perlu disokong bukti kukuh sebelum sebarang keputusan dibuat, lapor FMT.
Beliau menambah, sebarang bukti berhubung dakwaan salah laku itu boleh dikemukakan dalam bentuk rakaman video, audio atau dokumen bertulis bagi memastikan tindakan diambil berdasarkan fakta dan bukan sentimen.
“Kita menerima aduan daripada rakan komponen khususnya dengan pelbagai masalah disiplin yang dikira sebagai salah laku oleh parti berkenaan.
“Apabila ada aduan sedemikian, tentulah ia akan dibincangkan di peringkat MPT. Kita tunggulah selepas pilihan raya ini dan bagaimana langkah seterusnya akan dilakukan kerana itulah prosedurnya apabila ada aduan salah laku,” katanya selepas melawat Bilik Gerakan Utama PN DUN Kesidang, di sini hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS menambah, aduan berkenaan belum diterima sepenuhnya dan pihaknya akan meneliti setiap perkara sebelum dibawa untuk perbincangan rasmi dalam MPT PN.
“Kita mesti bergerak berdasarkan aduan dahulu, bukan atas sentimen lain. Aduan ini semestinya disertai bukti sama ada video, suara ataupun bertulis,” katanya lagi.
Beliau turut mengesahkan aduan berkenaan berkaitan beberapa perkara yang berlaku sebelum dan sepanjang PRN Negeri Sembilan, namun enggan memperincikannya kerana belum dibincangkan secara rasmi dalam MPT PN.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan sebagai berkata, tindakan disiplin terhadap BERSATU telah dipersetujui dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN dan akan dilaksanakan mengikut Fasal 15 perlembagaan gabungan itu.
Notis berhubung pertuduhan itu akan dikemukakan dalam tempoh terdekat, manakala parti itu akan diberi tempoh sewajarnya untuk mengemukakan penjelasan sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














