PN digesa lakukan penilaian kendiri sebelum cabar Kerajaan Perpaduan
GEORGE TOWN – Perikatan Nasional (PN) digesa melakukan penilaian kendiri yang serius sebelum terus mendakwa mampu menggantikan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan Persekutuan.
Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Pulau Pinang, Abrar Sadiq berkata, perkembangan politik mutakhir menunjukkan isu kestabilan dan pengurusan kepimpinan dalam PN masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Peletakan jawatan beberapa pimpinan utama BERSATU di penghujung 2025, diikuti pergolakan dalaman PN di Perlis, menjadi isyarat jelas bahawa isu kestabilan dan pengurusan kepimpinan masih belum diselesaikan dalam gabungan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa rakyat kini semakin matang dalam membuat penilaian politik dan keupayaan mentadbir tidak lagi diukur melalui retorik atau sentimen semata-mata.
“Keupayaan mentadbir diukur melalui kestabilan, kejelasan dasar dan kemampuan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah.
“Negara tidak boleh dipimpin oleh gabungan yang masih bergelut dengan isu keyakinan dalaman,” menurut kenyataan itu lagi.
Mengulas situasi di Pulau Pinang, sayap pemuda AMANAH itu berkata, rakyat negeri berkenaan menuntut politik yang berteraskan penyelesaian masalah serta kesinambungan pembangunan, bukannya pertelagahan kuasa yang berpanjangan.
“Kestabilan politik adalah prasyarat penting untuk memastikan kebajikan rakyat dan kemajuan ekonomi negeri terus terpelihara.
“Tanpa pembetulan dalaman yang tuntas, PN wajar merendah diri sebelum mencabar mandat untuk mentadbir negeri dan negara,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








