POLITIK

PRN Selangor: PN tawarkan calon profesional, berintegriti tinggi

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) berpendirian pentadbiran kerajaan negeri Selangor perlu diubah bagi memastikan hasrat dan kehendak rakyat negeri dipenuhi.

Sehubungan itu berkata, PN Selangor mempertaruhkan 56 anggota profesional dan berkelayakan sebagai calon pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

“Kita faham (kelayakan calon) dan tahu (keperluan negeri) sebab kita pernah berada dalam kerajaan Selangor dan negeri ini merupakan sebuah negeri kaya, yang hasilnya setahun melebihi RM2 bilion.

“Kita juga merasakan Pakatan Harapan (PH) yang telah diberi peluang selama satu penggal namun tidak dapat untuk memenuhi hasrat dan kehendak rakyat negeri Selangor.

“Jadi kita melalui beberapa proses untuk memastikan calon yang kita kemukakan ini bukan sahaja berkelayakan tetapi boleh diterima rakyat negeri Selangor,” kata Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi memperkenalkan latar belakang calon PN negeri Selangor di Bilik Gerakan Utama PN Selangor di Emira Residen & Urban Retail di Seksyen 13, di sini.

Beliau menambah, PN menawarkan calon-calon yang bersih dan berintegriti tinggi untuk menerajui negeri Selangor sekiranya diberi mandat pada 12 Ogos nanti.

“Calon PN tiada kluster mahkamah, tiada kluster yang keluar penjara, semuanya bebas. Kita harapkan rakyat Selangor, kita dah berikan yang terbaik, untuk beri khidmat terbaik kepada rakyat Selangor.

“Berilah kepercayaan dan peluang, ini bukan pertama kali, kita pernah jadi kerajaan negeri sebelum ini, rakyat telah menilai dan ini peluang terbaik untuk rakyat buatkan perubahan bentuk Selangor baharu untuk PN,” katanya lagi.

PN Selangor meletakkan 56 calon terdiri dari 40 calon Melayu, Cina (10) dan India (enam) dengan 43 calon adalah muka baharu serta 12 adalah calon muda dengan purata umur adalah 47 tahun.

Ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar, beliau berkata kesemua 56 calon PN yang bertanding adalah layak untuk dipilih ke jawatan tersebut.

Jelasnyanya, proses dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor disebut bahawa hak untuk memilih Menteri Besar ini adalah di bawah kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Jadi mana-mana parti mempunyai majoriti lebih daripada 29 kerusi akan dijemput ke istana untuk menghantar nama untuk dipertimbangkan oleh Tuanku Sultan sebagai Menteri Besar.

“Kita pernah tengok pengalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) dahulu apabila Tuanku Sultan minta dua tiga nama, tapi yang dihantar satu nama dan kemudiannya nama itu ditolak oleh Tuanku,” katanya.

Beliau berkata, jika rakyat memberi mandat kepada PN, gabungan parti itu akan mengemukakan nama-nama calon yang layak sebagai calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan Sultan Selangor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button