POLITIK

Hadi Awang gesa mesyuarat tergempar PN dibuat segera

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan keperluan supaya satu Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) disegerakan demi memastikan kelangsungan pentadbiran gabungan itu.

Beliau berkata langkah tersebut penting bagi memenuhi keperluan perlembagaan PN.

“Bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, maka saya sebagai Timbalan Pengerusi PN berpandangan, hendaklah disegerakan suatu panggilan Mesyuarat Tergempar MT PN bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(I)(b) Perlembagaan PN,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Abdul Hadi berkata, gesaan itu dibuat susulan penerimaan surat peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN bertarikh 30 Disember 2025 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.

Menurutnya, PAS menghormati keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang menerajui PN.

Sehubungan itu, mesyuarat tergempar MT PN amat penting bagi membolehkan dua perkara utama dilaksanakan, iaitu menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN serta melantik pengerusi baharu.

“Perkara ini perlu diberi perhatian segera memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah berjalan melebihi 10 hari,” katanya lagi.

Terdahulu, Abdul Hadi mengeluarkan surat rasmi kepada Timbalan-Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PN bertarikh 10 Januari 2026 bagi memaklumkan perkara tersebut dan menggesa tindakan segera diambil oleh kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button