
Muhyiddin kesal tohmahan Annuar Musa, dakwa hak BERSATU dalam PN dinafikan
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa hak parti itu sebagai anggota dan pengasas Perikatan Nasional (PN) telah dinafikan, termasuk tidak dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi pilihan raya serta mesyuarat yang memuktamadkan agihan kerusi.
Muhyiddin berkata, BERSATU tidak pernah mengambil keputusan untuk mufarakah atau berpisah secara sukarela daripada PN, sebaliknya parti itu masih merupakan anggota sah gabungan berkenaan.
“Saya kesal dengan tohmahan Tan Sri Annuar Musa terhadap BERSATU.
“BERSATU tidak mufarakah secara sukarela daripada Perikatan Nasional. BERSATU yang mengasaskan Perikatan Nasional dan BERSATU masih parti anggota Perikatan Nasional yang sah.
“Tetapi hak-hak BERSATU sebagai parti anggota dan parti pengasas Perikatan Nasional telah dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, rundingan pembahagian kerusi pilihan raya bersama BERSATU tidak diteruskan malah sengaja dihentikan dengan alasan yang disifatkannya tidak munasabah.
Katanya, BERSATU juga tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota gabungan itu.
“Jadi, mengapa BERSATU dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuarat pun tidak dijemput?” katanya.
Mengulas isu rundingan dengan Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata, beliau tidak mempertikaikan rundingan tersebut kerana Pengerusi PN sendiri mengakui memberi kebenaran supaya ia dijalankan.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu membabitkan dasar gabungan yang sepatutnya dibawa terlebih dahulu ke Majlis Tertinggi PN sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Sebaliknya, rundingan dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi. Setelah keputusan mengenai kerjasama dibuat barulah dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang,” katanya.
Muhyiddin berkata, sepanjang lima tahun memimpin PN, beliau tidak pernah mengenepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan termasuk berkaitan dasar parti dan pembahagian kerusi pilihan raya.
Beliau turut menyifatkan tuduhan Tan Sri Annuar Musa bahawa BERSATU menghalang penyatuan Melayu sebagai tidak bertanggungjawab.
Katanya, beliau menubuhkan BERSATU sebagai sebuah parti pribumi Melayu dan perjuangannya terhadap penyatuan Melayu tidak pernah terhenti.
Muhyiddin berkata, pada peringkat awal penubuhan PN, beliau menggagaskan gabungan itu sebagai parti induk yang menghimpunkan parti-parti Melayu termasuk UMNO serta parti pelbagai kaum.
Namun, katanya, UMNO menolak untuk menyertai PN dan kemudian Ahli Parlimen parti itu berkomplot menjatuhkan kerajaan PN yang dipimpin oleh orang Melayu dan parti Melayu.
Beliau mendakwa, keputusan PAS untuk mewujudkan kerjasama dengan UMNO yang masih mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP menyebabkan hubungan dengan BERSATU diputuskan dan parti itu diketepikan daripada PN.
“Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik. Apapun saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Perikatan Nasional.
“BERSATU tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya demi Malaysia dan seluruh rakyatnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








