Che GuBard dipecat BERSATU
KUALA LUMPUR – Ketua BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 6 petang semalam.
Mengulas perkembangan tersebut, Che GuBard mendakwa pemecatan itu telah dijangka selain menyifatkan parti berkenaan kini tidak lagi memperjuangkan isu rakyat.
“Seperti dijangka, sekitar jam 6 petang semalam, saya dipecat oleh parti melalui WhatsApp,” memetik BH online.
Beliau turut mendakwa hala tuju parti kini lebih memfokuskan kepada kepentingan kelompok tertentu, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kebebasan ahli untuk bersuara.
Menurutnya, satu kenyataan rasmi berhubung perkara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Che GuBard yang dilantik sebagai Ketua BERSATU Port Dickson pada November 2024 bagaimanapun menegaskan akan terus memperjuangkan nasib rakyat serta komited memerangi rasuah.
Terdahulu, beliau dilaporkan menerima notis tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti pada 10 Mac lalu berhubung beberapa dakwaan, termasuk mencemarkan imej dan nama baik parti.
Namun, beliau enggan menjawab notis berkenaan kerana menganggap tuduhan yang dikemukakan sebagai tidak berasas.
Untuk rekod, Che GuBard sebelum itu merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat sebelum dipecat pada 2016 dan kemudian menyertai BERSATU pada 2020.
Dalam perkembangan berkaitan, kemelut dalaman BERSATU dilihat semakin memuncak susulan konflik melibatkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Situasi itu turut menyaksikan beberapa pemimpin lain dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan dan penggantungan keahlian parti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















