Akaun Facebook BERSATU disabotaj berjaya diperoleh semula
KUALA LUMPUR – Akaun Facebook rasmi BERSATU yang digodam telah berjaya diperoleh semula awal pagi tadi.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU, Harris Idaham Rashid berkata, kesemua pengendali yang terlibat dalam tempoh sabotaj itu juga telah berjaya dikeluarkan.
“Tanpa mendedahkan cara, kaedah dan pendekatan keempat-empat administrator yang terlibat ketika tempoh sabotaj tersebut telah berjaya dikeluarkan daripada sebarang akses akaun hari ini jam 12.41 pagi.
“Pengurusan akaun tersebut sudah kembali ke pegawai-pegawai BERSATU,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Harris, pegawai khas kepada bekas Timbalan Presiden BERSATU antara mereka yang terlibat dalam kerja sabotaj itu.
“Terdapat empat administrator yang disahkan ketika akaun disabotaj. Mereka terdiri daripada Ahmad Ikhwan Fadhli (Pegawai Khas kepada mantan Timbalan Presiden BERSATU merangkap Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin), Meor Naqiuddin Shamsudin (Pegawai Khas kepada mantan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Wan Ahmad Fayhsal), Fairus Amri Suadi dan Ahmad Syafiq Adham
“Keempat mereka memiliki akses kepada content, messages and calls, community activity, ads, insights, permissions dan page deletion,” katanya.
Dalam pada itu katanya, hantaran berunsur sabotaj bermula semalam jam 8.54 pagi dan berakhir pada jam 11.44 malam pada tarikh yang sama.
Katanya, dalam hampir 15 jam itu sebanyak 21 hantaran telah dibuat oleh salah seorang administrator yang secara jelas menonjolkan secara positif mantan Timbalan Presiden BERSATU dan sebaliknya terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu katanya, ARMADA BERSATU bersyukur kerana dapat memainkan peranan penting bersama beberapa individu dalam operasi kecil itu demi kepentingan dan kelangsungan BERSATU.
“Kejadian ini membuktikan bahawa memang wujud duri dalam daging, api dalam sekam dalam kalangan segelintir kecil ahli,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








