POLITIK

Kedudukan 6 Ahli Parlimen Bersatu ditentukan pada sidang Parlimen bulan ini

KUALA LANGAT – Kekosongan kerusi enam ahli parlimen parti Bersatu akan ditentukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat berdasarkan peruntukan-peruntukan dalam Akta Anti Lompat Parti 2022 dan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menunggu keputusan daripada Tan Sri Johari Abdul bagi notis pengosongan kerusi tersebut.

“Kita menyerahkan budi bicara ini mengikut peraturan Parlimen dan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan kita tunggu sidang Parlimen yang akan berlansung pada bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini, hari ini.

Terdahulu, enam Ahli Parlimen Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Semalam, Johari dilaporkan berkata, pihaknya belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak, berhubung kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen Bersatu terbabit.

Jelas beliau, beliau memerlukan masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat, khususnya membabitkan undang-undang termasuk akta anti lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), sebelum memutuskan sebarang keputusan terhadap mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button