‘Kenapa minta bubarkan BERSATU?’ – Muhyiddin
JEMPOL – Cadangan beberapa pihak supaya BERSATU dibubarkan dan menyertai UMNO tidak dapat diterima, berdasarkan jumlah kerusi Parlimen dimilik parti itu berbanding lawannya.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BERSATU bukanlah bekas UMNO dan tiada keperluan untuk parti itu dibubarkan.
“Kenapa minta bubarkan BERSATU, kita (BERSATU) bukan ex-UMNO malah BERSATU mempunyai kerusi Parlimen paling banyak berbanding UMNO. Tidak kurang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“BERSATU juga sudah membentuk Perikatan Nasional (PN), begitu juga negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah PN, kenapa perlu bubar?
“Soalan saya pula, kenapa UMNO saja tidak dibubarkan dan masuk BERSATU,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Penyelaras Perikatan Nasional (PN) DUN Jeram Padang, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, Ketua Armada Muhammad Hilman Idham dan Penyelaras DUN Jeram Padang R Sri Sanjeevan.
Ketika ditanya mengenai kerjasama dengan UMNO, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan begitu sahaja kerana ia perlu dibincang dalam biro politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan PN.
“Ada beberapa isu rumit yang perlu dibincang dan ia tidak semudah itu untuk dijadikan kenyataan walaupun secara prinsipnya BERSATU bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai aspirasi perjuangan yang sama,” katanya.
Kelmarin, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan UMNO pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian ketika muncul dalam siaran podcast yang dihoskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang disiarkan di Youtube.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








