Ramai pemimpin DAP yang baik tidak lahir dari sistem UEC – Reezal Merican
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini menyuarakan pandangan peribadinya yang kurang bersetuju terhadap isu kemasukan pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Bekas Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam itu bagaimanapun menegaskan bahawa pandangan beliau tidak mewakili pendirian parti atau kerajaan.
Ujarnya, Malaysia tidak sepatutnya mempunyai dua identiti sistem pendidikan yang berbeza kerana keadaan itu menyebabkan sistem berkenaan tidak menzahirkan identiti pendidikan kebangsaan Malaysia secara menyeluruh.
“Saya beranggapan bahawa UEC yang ditubuhkan 1975 dengan sebab-sebab tertentu, sebab sekolah menengah persendirian Cina ini dibuat bila mana tidak ada lagi sekolah-sekolah menengah baru Cina yang ditubuhkan.
“UEC ditadbir oleh Dong Zong dari segi silibus, piawaian serta penggubalan peperiksaan. Dan silibus-silibus yang berada di sekolah-sekolah di bawah kawalan UEC ini pun bukan dari Malaysia,” katanya ketika diminta mengulas isu pengiktirafan UEC dan kemasukan pelajarnya ke IPTA.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Akademi Muezza di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras di sini, hari ini.
Menurut Reezal, beliau tidak menolak kepentingan bahasa, budaya dan identiti masyarakat Cina malah memahami keperluan untuk mengekalkan elemen warisan (ancestor) tersebut dalam sukatan pendidikan.
Namun katanya, dalam konteks pembinaan negara bangsa, Malaysia perlu mempunyai satu sistem pendidikan yang lebih terselaras dan beridentiti nasional.
“Saya faham masyarakat Cina sangat menjaga soal budaya, bahasa dan susur galur keturunan mereka. Itu tidak salah dan perlu dihormati,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya sistem UEC diintegrasi dan diharmonikan dengan sistem pendidikan kebangsaan termasuk mewajibkan penguasaan bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah.
Dalam hujahnya juga, Reezal menamakan beberapa pemimpin politik berbangsa Cina yang berjaya melalui sistem pendidikan kebangsaan seperti Anthony Loke, Hannah Yeoh, Nga Kor Ming dan Steven Sim.
Menurut beliau, kesemua mereka merupakan produk sistem SPM dan institusi pendidikan tempatan dan bukannya lepasan UEC.
“Mereka menjadi rakyat Malaysia yang baik walaupun bukan produk UEC. Jadi kenapa sistem sedia ada tidak boleh melahirkan lebih ramai individu seperti mereka?” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pandangannya itu bukan bertujuan menentang UEC secara keseluruhan, sebaliknya mahu melihat sistem pendidikan negara bergerak di bawah satu identiti nasional yang lebih harmoni.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















