POLITIK

‘Lebih baik Hamzah sertai UMNO’ – Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan adalah lebih baik Timbalan Presiden BERSATU yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin kembali menyertai UMNO daripada menubuhkan parti lain.

Beliau bagaimanapun berkata, penyertaan kembali Hamzah masih tertakluk kepada syarat tertentu, lapor NST.

“Saya berharap Hamzah tidak menubuhkan parti baharu. Lebih baik beliau menyertai UMNO semula. Beliau sudah biasa dengan UMNO.

“Walau apa pun, Hamzah terikat dengan beberapa syarat sekiranya mahu kembali ke UMNO. Tiada layanan dua darjat untuk beliau,” katanya, hari ini.

Sebelum menyertai BERSATU pada 2018, Hamzah merupakan ahli UMNO dan pernah berkhidmat dalam Kabinet Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Datuk Seri Najib Tun Razak.

Puad kemudiannya berkata, kemungkinan Hamzah untuk kembali ke pangkuan UMNO bukan perkara luar biasa kerana perkara sedemikian pernah berlaku sebelum ini.

“Ini bukan perkara ganjil. Tun Dr Mahathir Mohamad pernah diterima semula ke dalam UMNO sebanyak dua kali.

“Malah Tengku Razaleigh Hamzah juga diterima secara en bloc apabila beliau membubarkan Semangat 46,” katanya.

Beliau kemudiannya menambah, konsep Rumah Bangsa yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertujuan membuka ruang kepada mereka yang ingin kembali, sama ada secara individu atau berkumpulan.

“Hamzah membuat pilihan yang tepat jika kembali ke UMNO kerana BERSATU akan tenggelam sepenuhnya dalam masa terdekat,” kata Puad lagi.

Laporan sebelum ini yang memetik sumber berkata, Hamzah sudah lama mempertimbangkan untuk kembali ke parti lamanya dan telah mengadakan perbincangan dengan Ahmad Zahid.

Satu lagi sumber berkata, sekiranya Hamzah kembali ke UMNO, beliau berkemungkinan tidak bersendirian kerana beberapa individu yang turut dipecat daripada BERSATU dilaporkan berminat untuk menyertai parti itu.

Jumaat lepas, Hamzah bersama 16 lagi individu yang terdiri daripada pemimpin bahagian dan Ahli Parlimen dipecat keahlian mereka daripada BERSATU kerana didapati melanggar Perlembagaan parti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button