Sekat keahlian parti lain, PAS kaji semula hubungan dengan BERSATU – Abdul Hadi
MARANG – PAS akan mengkaji semula hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Perikatan Nasional (PN) susulan percanggahan serta tindakan negatif yang dilakukan oleh rakan sekutunya itu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan BERSATU yang menolak hasrat untuk memperkukuh PN dengan menyekat keahlian parti-parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem adalah sesuatu yang tidak menyenangkan.
Menurut beliau, PAS mahu memperbanyakkan lagi penyertaan komponen dalam gabungan tersebut demi memperkasakan agenda Melayu-Islam, namun langkah itu tidak dipersetujui pihak berkenaan.
“Hal-hal seperti ini akan kita kaji dan teliti satu persatu untuk melihat tindakan selanjutnya. Pilihan raya ini ada untung ruginya dan melibatkan soal sokongan kita.
“Kalau menjejaskan PN dalam pilihan raya, maknanya kita tidak mengikut apa yang sepatutnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut sama ada PAS akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika tiada kata sepakat dicapai, Abdul Hadi menegaskan parti itu tidak akan bersendirian memandangkan parti itu masih memegang peranan sebagai Pengerusi PN.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan berhubung status keahlian BERSATU dalam gabungan itu menjelang PRU ke-16 (PRU16) nanti.
“Itu satu kemungkinan yang tidak boleh dijawab sekarang sebab ia belum berlaku. Biar ia berlaku dahulu. Dalam politik ini ada banyak kemungkinan. Cuma untuk masa hadapan, BERSATU tidak boleh lagi berbuat macam dahulu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








