BERITA SEMASAPOLITIK

Ku Li tegur UMNO, jangan berdiam diri isu Titah Adendum

KUALA LUMPUR – UMNO perlu berfikir secara serius dan mendalam mengenai kedudukan serta peranannya dalam kerajaan sekiranya terus berdiam diri terhadap isu Titah Addendum tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, kata pemimpin veteran parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau menegaskan, sikap tidak mengambil pendirian jelas dalam isu berkenaan boleh menimbulkan persoalan besar terhadap prinsip dan perjuangan UMNO yang sejak penubuhannya menjunjung institusi Raja-Raja Melayu serta mempertahankan kedaulatan Perlembagaan.

Menurut Tengku Razaleigh, sekiranya perkara itu benar-benar serius dan bercanggah dengan asas perjuangan parti, UMNO seharusnya memikirkan semula kedudukannya dalam kerajaan, termasuk peranan pemimpin parti yang memegang jawatan politik.

“Kalau difikirkan benda ini serius dan bertentangan dengan perjuangan UMNO yang mendaulatkan raja-raja serta mempertahankan kedudukan dan kuasa Raja-Raja, UMNO patut fikir sedalam-dalamnya kedudukannya dalam kerajaan,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan pelaksanaan Titah Addendum tahanan di rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.

Mengulas lanjut, Razaleigh berkata, semua pemimpin parti yang memegang jawatan politik wajar menimbang untuk menyerahkan kembali kuasa kepada parti supaya UMNO dapat bersatu dan menentukan pendirian secara kolektif, tanpa terus bergantung kepada pihak lain.

“Kita ada undang-undang, kita ada Perlembagaan parti yang mesti dihormati. Takkan kita nak bergantung kepada orang lain sepanjang masa untuk menentukan sikap parti kita,” katanya.

Dalam pada itu, Razaleigh turut menyuarakan kehairanan mengapa UMNO tidak mengadakan sebarang sidang atau perbincangan rasmi bagi membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib.

“Saya hairan kenapa UMNO tidak mengadakan sidang untuk membincangkan isu Titah Addendum ini sedangkan ramai ahli UMNO, termasuk pemimpin dan orang biasa, telah datang bertemu saya meluahkan rasa kekecewaan,” ujarnya.

Menurut beliau, UMNO sebelum ini juga telah memutuskan supaya isu penahanan Najib diikhtiarkan oleh parti bagi mencapai satu resolusi yang memuaskan semua pihak dan tidak dibiarkan dipikul secara bersendirian oleh bekas Presiden UMNO itu.

“UMNO patut mencari jalan supaya beban yang ditanggung Datuk Seri Najib ini dapat diringankan. Ikhtiar mesti dijalankan termasuk mendapatkan pengampunan daripada Raja kita yang mempunyai hak dan kuasa prerogatif,” katanya.

Razaleigh menegaskan, walaupun keputusan mahkamah perlu dihormati dan Najib terpaksa menjalani hukuman, titah Yang di-Pertuan Agong juga perlu dijunjung memandangkan kuasa pengampunan merupakan prerogatif Raja di bawah Perlembagaan.

Beliau turut berharap pimpinan UMNO di semua peringkat termasuk bahagian dan cawangan tidak terus berdiam diri, sebaliknya tampil menyatakan pendirian dan mengambil tanggungjawab mempertahankan prinsip perjuangan parti.

“Perkara ini dibincangkan di seluruh negara dan sepatutnya diberi perhatian oleh pimpinan UMNO. UMNO perlu bertindak tanpa segan silu demi menjaga kepentingan parti, rakyat dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Razaleigh bagaimanapun menegaskan, beliau tidak berniat mengkritik keputusan mahkamah atau mempertikaikan Perlembagaan, sebaliknya menyeru supaya semua pihak terus menghormati institusi kehakiman dan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang sistem negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button