UMNO tidak takut DAP, jangan terperangkap naratif musuh – Wan Mahusin
KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah berada dalam keadaan takut kepada DAP seperti yang sering digambarkan oleh pihak lawan, sebaliknya parti itu perlu lebih yakin dengan kekuatan serta pencapaian sendiri.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahusin Wan Zain berkata, emosi dan persepsi yang dibentuk musuh sering menyebabkan ahli serta penyokong terperangkap dengan naratif yang sengaja diwujudkan untuk melemahkan keyakinan terhadap parti.
“Terkadang kita terlalu emosi dalam tindakan dan mudah percaya kepada naratif yang dibuat-buat oleh musuh, sedangkan kita sepatutnya mencipta naratif sendiri yang lebih menyakinkan penyokong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, dakwaan kononnya UMNO takut kepada DAP jelas tidak berasas jika dilihat kepada dasar dan pelaksanaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang yang terus memperkukuh agenda Islam.
Katanya, pelaksanaan Juadah Makmur Pahang yang dikhususkan kepada umat Islam setiap hari Jumaat membuktikan UMNO tidak pernah dihalang dalam memperjuangkan kepentingan Islam.
“Peruntukan untuk Islam di Pahang bukan sahaja bertambah, malah Teras Belanjawan Pahang 2026 turut meletakkan Islam sebagai teras utama.
“Tidak pula DAP menghalang atau menyekat usaha ini,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, sebanyak 37 masjid dan surau di Pahang telah dibina serta dibaik pulih oleh kerajaan negeri, sekali gus menafikan dakwaan kononnya agenda Islam disekat oleh rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jika benar DAP menghalang tugas Islam, sudah tentu usaha ini tidak mampu dilaksanakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wan Mahusin menegaskan di peringkat pusat juga UMNO tidak tunduk kepada tekanan DAP, sebaliknya beberapa keputusan penting kerajaan dibuat selari dengan pendirian parti itu.
Antaranya termasuk penangguhan pelaksanaan Urban Renewal Act (URA), penolakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta cadangan menjadikan kampung Melayu sebagai tapak warisan UNESCO.
“Ini membuktikan bukan UMNO yang patuh kepada DAP, tetapi DAP yang menghormati pendirian UMNO,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru ahli dan penyokong UMNO agar tidak terus dibelenggu rasa takut yang tidak berasas, sebaliknya berbangga dengan kekuatan, sejarah dan pencapaian parti.
“UMNO sepatutnya yakin dengan apa yang kita miliki dan tidak terpedaya dengan naratif musuh sejak awal penubuhan parti,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








