POLITIK

Belum ada perbincangan rasmi dengan BERSATU – Ahmad Maslan

PONTIAN – Belum ada perbincangan rasmi antara UMNO dengan BERSATU bagi sebarang jalinan kerjasama setakat ini.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, BERSATU disaran menulis surat rasmi menyatakan hasrat mereka itu.

“Tidak ada perbincangan di peringkat MKT mengenai apa yang dicadang Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada mesyuarat baru-baru ini.

“Malah mesyuarat MKT sebelum ini juga tidak pernah membincangkan mengenai (kerjasama dengan BERSATU) isu ini.

“Tentunya perkara penting sebegini perlu dibincang di peringkat MKT UMNO.

“Jika BERSATU mahu lakukan (kerjasama dengan UMNO) atau mahu pun berkeinginan menyertai UMNO semula, kemukakan surat supaya perbincangan rasmi dapat dibuat.

“Jangan asyik bangkitkan perkara ini (di media) kerana jika tiada permohonan, macam mana ia hendak dibincangkan secara rasmi di peringkat MKT UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Jelajah Revolusi Pembinaan CR4.0 dan myDigital Kontraktor (MDK), di Benut, di sini hari ini.

Kelmarin, Hamzah dilaporkan berkata BERSATU terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO, kerana kedua-dua parti berkongsi asas ideologi yang sama.

Hamzah dilaporkan, bekas pemimpin MIC dan MCA juga sudah mendaftar untuk menjadi ahli BERSATU.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button